Monday 5 June 2017

Resepi - Ikan Patin Masak Lemak Tempoyak.


Assalamualaikum...

Aku memang dari dulu suka tangkap gambar. Tapi aku paling suka tangkap gambar makanan dan pemandangan. Gambar makanan dan pemandangan sahaja aku boleh tangkap dalam 20 kali. Dan tak lupa juga, aku suka tangkap gambar dengan encik Suami. :") Tapi itulah kalau tangkap gambar, mesti terperuk dalam handphone. Sampaikan gambar dalam handphone pernah cecah dalam 10k. Bayangkanlah punya lah lama aku tak transfer gambar dekat hard disk. Bukannya apa, kadang-kadang tu terasa nak update gambar dekat instagram atau blog, senang je cari dekat handphone. Tapi kalau dah transfer gambar dekat hard disk, jenuh pula nak mencari dekat folder. -..- Kononnya lepas tangkap gambar aktiviti memasak dan gambar makanan nak terus update dekat blog. Sudahnya terperap juga. Tambah pula dah nak dekat dengan waktu peperiksaan akhir, lagilah aku malas nak ambil tahu. Karang terfikir itu, terfikir ini. Hati tak keruan jadinya.

Tadi dah selesai buat kerja awal-awal pagi dan dah hafal nota yang pensyarah bagi. Sementara nak dekat waktu rehat ni, aku up lah entry tentang masakan. Aku ni bukannya pandai sangat pun masak. Boleh lah sikit-sikit kalau nak masak untuk encik Suami dan keluarga sendiri. Kalau nak masak untuk orang lain, aku macam segan sikit. Takut tak menepati selera masing-masing. .__." Kebetulan sebelum puasa, abang ipar aku balik dari memancing, bagi lah ikan patin dekat encik Suami. Terkejut juga aku sebab besar sangat. Nasib baik muat nak masuk dalam peti ais. Selalunya kami beli dekat pasar taklah besar macam ni. Hari ni aku terasa nak kongsi resepi ikan patin masak tempoyak dah alang-alang ikan patin ambil ruang dalam peti ais. Masak terus lah nampaknya. Lagipun atas permintaan encek Suami sebab teringin katanya. Dari tempat kerja asyik tanya bila nak buat opsss patin. .__.

Bahan-bahan :
Ikan patin
1 labu bawang besar *
15 cili padi *
1 inci kunyit hidup *
1/2 kotak kecil santan
3 sudu tempoyak
2 batang serai - dititik
2 keping asam gelugor
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa


Cara-caranya :
  1. Ikan patin dipotong dan dibersihkan terlebih dahulu. Toskan.
  2. Bawang besar, cili padi dan kunyit hidup dikisar bersama.
  3. Masukkan 2 cawan air dalam periuk dan panaskan. Masukan bahan yang telah dikisar. Gaulkan.
  4. Masukkan batang serai yang telah dititik dan asam gelugor. 
  5. Masukkan sedikit santan dan gaul rata.
  6. Masukkan ikan patin ke dalam periuk. Masak dengan mengunakan api perlahan hingga mendidih. Kacau supaya tidak pecah lemak.
  7. Masukkan lebihan santan dan tempoyak di dalam mangkuk. Gaul rata. Masukkan campuran ke dalam periuk dan kacau supaya tidak pecah lemak.
  8. Tutup api dan hidangkan bersama nasi panas, telur masin dan timun. 
Dua tiga kali encik Suami tambah, Alhamdulillah. :") Lepas berbuka puasa makan dua kali, sebelum tengah malam makan lagi sekali. Licin periuk dibuatnya. Betul lah orang cakap, kejayaan seorang isteri adalah bila dapat tengok suaminya makan licin apa yang isterinya masak. :"P

No comments: