Friday 21 September 2012

Mengumpat? Tak Nak Dengar!

Assalamualaikum...
"dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah Al-Hujuraat, ayat 12)
Seperti yang kita tahu, mengumpat ialah bercakap tentang perkara yang tidak disukai orang yang diumpat yakni perkara yang jika orang itu tahu kita berkata mengenainya boleh menyebabkan dia berkecil hati atau marah. Jika kita tidak berhati-hati, perkara yang diumpat juga boleh menjadi fitnah jika tidak diketahui kesahihannya.
"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya." (Surah An-Nuur, ayat 15)
Orang yang mengiyakan perkara yang diumpat juga samalah seperti orang yang mengumpat. Manakala orang yang hanya mendengar umpatan (terutamanya yang tidak diketahui kebenarannya) tanpa berbuat apa-apa pula sepatutnya mengingatkan orang yang sedang mengumpat tentang bahaya menyebarkan khabar angin tersebut. Allah SWT berfirman :
"Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan." (Surah An-Nuur, ayat 16)
Ya, manusia dicipta dengan berbagai-bagai ragam dan perangai. Tak terkecuali juga 'kaki-kaki mengumpat'. Apabila rakan kita sudah mula membuka tingkap 'kafe mengumpat', bagaimana kita nak elak ya? Pahala dah lah tak banyak mana, nak sedekahkan pula pahala kepada rakan kita yang diumpat tu. Jadi, bagaimana nak elak daripada mendengar umpatan?

Petua:
  1. Jika kita benar-benar sayangkan rakan kita dan kita mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menegur, tegurlah. Tegur ada banyak metodenya. Tegur secara baik dan halus, atau tegur secara direct dan ringkas. Metode ini bergantung kepada mad'u tersebut. Sekiranya dia seorang yang sensitif, tegurlah secara baik dan halus. Dan sekiranya dia seorang yang lambat pickup atau tak berapa nak sensitif, tegurlah secara direct dan ringkas. Tetapi mesti secara BERHIKMAH. [Dulu, saya pernah menegur sahabat saya yang berbuat kesalahan dengan cara agak kasar. Akibatnya, api pergaduhan mula dinyalakan, dan akhirnya, dakwah itu tidak sampai, astaghfirullah. Tetapi saya sudah meminta maaf dan kami sudahpun berbaik. Sebab itulah pentingnya dakwah secara hikmah.]
  2. Sekiranya si fulan yang mengumpat itu merupakan orang yang lebih tua daripada kita, atau merupakan seorang yang agak ego (susah nak terima nasihat dan pendapat), dan kita pula tidak mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menegur, maka dakwahlah secara perlahan-lahan : Sewaktu 'sesi umpatan' itu, buatlah mimik muka bosan atau tidak berminat dengan percakapannya. Jangan pandang wajahnya secara terus sewaktu sesi tersebut, sebaliknya lilau-lilaukanlah mata ke tempat lain, menunjukkan kita sudah bosan mendengar kata-katanya. Dan, paling penting, janganlah tambah kehangatan sesi itu dengan "Ohh, yeke?" atau "Ohh, tak sangka macam tu.." Selain itu, kita boleh berpura-pura sedang kesempitan atau mengejar masa. Sesekali kerling jam tangan, atau sekiranya tidak memakai jam tangan sewaktu itu, tanya si fulan itu, "Eh, dah pukul berapa ya sekarang?" Kita juga boleh cuba selitkan sekali-sekala tentang keburukan kita, menunjukkan betapa banyaknya keburukan kita dan betapa tidak layaknya kita untuk menilai dan mengumpat orang lain. Setelah sesi umpatan tersebut berakhir, berikan artikel kepadanya tentang keburukan mengumpat dan seumpama dengannya. Sekarang ni kan teknologi dah canggih, print sahaja artikel daripada iluvislam atau mana-mana blog yang boleh dipercayai kesahihannya, dan berikan kepada si fulan itu. Atau lebih mudah, sebarkan sahaja diFacebook. Lambat-laun, insya-Allah, dengan berkat usaha dan doa kita, hatinya akan lembut. Tapi hidayah tu milik Allah, kita cuma perlu berusaha saja dan selebihnya kita serahkan kepada Allah.
Akan tetapi, kadangkala kita perlu berkata tentang keburukan seseorang, contohnya, apabila kita hendak melaporkan tentang kezaliman seorang pemimpin terhadap orang bawahannya atau apabila hendak membuat laporan kepada pihak berkuasa tentang maksiat yang berlaku. 

Apa-apa pun, berhati-hatilah dalam berbicara, pastikan kesahihan laporan itu dan pastikan juga tiada unsur tokok tambah. Dan yang paling penting, niatkan kerana Allah.
Wallahu'alam.
sumber : http://aimiliyana-itu-ana.blogspot.com/

No comments: