>

Saturday, 25 April 2015

Resepi - Kepala Ikan Merah Masak Asam Pedas.

Assalamualaikum...

Entry sebelum ni aku ada bagitahu yang aku dan encek Suami ada beli kepala ikan merah dekat pusat beli belah. Dah encek Suami kata murah, apalagi ambil dua kepala terus. Lagipun dah lama tak masak kepala ikan. Kalau ada lebihan kuah, boleh makan dengan roti capati ke, roti canai ke atau lain-lain. Janji habiskan apa yang ada. Ye tak? Aku ni kadang-kadang tak tentu juga waktu memasak. Kalau encek Suami balik kerja tengah malam, selalunya aku akan masak yang mudah dan untuk kenyangkan perut aku. Sebabnya encek Suami memang taknak makan tengah malam. Diet katanya. Kalau hari lain-lain, memang akan memasak. Kali ni nak cuba masak asam pedas walaupun tak berapa pakar sangat masak masakan ni. Selalunya masak kari. Kali ni cuba resepi lain.
Bahan-bahan kisar :
  1. 1 cawan cili kisar
  2. 1 inci kunyit hidup 
  3. 1 inci halia 
  4. 1 biji bawang besar
  5. 3 ulas bawang putih 
  6. Sedikit belacan yang telah dibakar
  7. Air secukupnya
Bahan-bahan :
  1. Kepala ikan merah
  2. 5-6 biji bendi
  3. Daun kesum ikut rasa
  4. 1 batang bunga kantan
  5. 1 batang serai diketuk
  6. 2 biji buah tomato belah 4
  7. Air asam jawa secukup rasa
  8. Garam dan gula secukup rasa
  9. Minyak untuk menumis
Cara-cara memasak :
  1. Ikan dibersihkan hingga hilang hanyir terlebih dahulu dan toskan.
  2. Kisarkan semua bahan-bahan kisar.
  3. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
  4. Masukkan cili kisar dan kacau sehingga pecah minyak. Gunakan api sederhana.
  5. Masukkan air sedikit demi sedikit dan biarkan mendidih.
  6. Masukkan air asam jawa dan kepala ikan merah. Biarkan mendidih.
  7. Masukkan tomato, bendi, bunga kantan dan daun kesum. 
  8. Perasakan dengan gula dan garam.
  9. Masak ikut kesesuaian kepekatan kuah. Tambah air jika terlalu pekat, biarkan mendidih jika terlalu cair. 
  10. Hidangkan bersama nasi panas.

No comments: