Assalamualaikum...
sumber : www.google.com |
Kalau aku tidak ingin kau memandang
perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus
memperbaiki dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh Allah.
Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi
perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu
untuk lelaki yang baik? Tidak kunafikan sebagai wanita, aku memiliki perasaan
untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap
kali itulah aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu kerana
ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal
menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang
menjadi labuhan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.
Diriku yang memang lemah ini telah
diuji oleh Allah saat lelaki-lelaki berhidung belang ingin mendekati diriku.
Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi mereka
tetap tidak berputus asa. Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini
telah dirampas dariku. Aku bertanya-tanya adakah aku berada di tebing
kebinasaan? Aku beristighfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik
Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan. Kehadiran mereka membuatku
banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan seolah-olah wujud bersamaku. Di
mana saja aku berada, akal sadarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu
lelaki-lelaki yang menggodaku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak
hatiku yang mengatakan lelaki penggoda itu bukan teman hidupku kelak.
Aku bukanlah seorang gadis yang
cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata
sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga
punya keinginan seperti wanita yang lain, dilamar lelaki yang bakal memimpinku
ke arah tujuan yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf
Alaihisalam, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman Alaihisalam, atau
kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam, yang
mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat.
Andainya kaulah jodohku yang
tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku
juga hatimu. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan
ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih
tidak mempunyai hak untuk membuat begitu. Juga jangan melampaui batas yang
telah Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi
kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.
Permintaanku tidak banyak. Cukuplah
engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Illahi. Aku akan merasa
amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun sandaran
perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang
ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut
sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan
atau syahid itu. Akan kukeringkan darah dari lukamu dengan tanganku sendiri.
Itu impianku. Aku pasti berendam airmata, andainya engkau menyerahkan seluruh
cintamu hanya kepadaku semata-mata.
Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh
hatimu kerana dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta
itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan
mempertemukan kita kembali di syurga. Seorang gadis yang membiarkan dirinya
dikerumuni, didekati, diakrabi oleh lelaki yang bukan muhrimnya, cukuplah
dengan itu hilang harga dirinya di hadapan Allah. Di hadapan Allah. Di hadapan
Allah.
Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera Agama. Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata. Yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat rohani dan hati. Yang diharap, bukan berapinya jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat. Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana diri ini serikandi dengan silam yang penuh luka. Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia. Dan yang akan terjadi, andai sama ataupun tidak dengan kehendak hati, Insya Allah ku redha kemahuan pilihan Illahi…
Wahai wanita, ku ingatkan diriku dan
dirimu, peliharalah diri dan jagalah kesucian…
Semoga redha Allah akan sentiasa
mengiringi dan memberkati perjalanan hidup ini.
Amin ya rabbal alamin...
sumber : Dunia Macam-Macam.