Friday, 24 April 2020

Marhaban Ya Ramadhan 1441H.

Assalamualaikum...

Lama betul aku tak update blog Scooterist, Ada♥Naz. Walaupun dah lama tak update, aku biarkan je blog ni bersawang berbulan-bulan lamanya. Sayang nak deactive atau delete blog. Banyak kenangan aku dekat blog ni sejak 2008. Kalau ada mana-mana post dalam blog aku ni, boleh jadi manfaat buat orang aku happy sangat. Yang baik, kita ambil. Yang buruk, kita tinggalkan.

Pejam celik, dah masuk tahun 2020. Tak sangka aku pun dah melangkah alam 3 series (33 tahun). Dulu masa awal-awal update blog, baru 2 series. Masih semangat nak update kehidupan seharian dekat social media. Bila dah 3 series ni, keinginan tu makin berkurang. Jarang sangat update kecuali instagram story. Mungkin itu bukan lagi keutamaan aku. Masa aku banyak dihabiskan dengan komitmen pada kerja, keluarga dan diri sendiri. Tak nampak di kalangan semua orang, tapi cukuplah diri aku yang merasai pahit, manis, duka, suka, jatuh, bangkit kehidupan aku. Semuanya aku hadapi dengan berlapang dada, bersyukur dan redha sebab kita hanya merancang kehidupan kita setiap hari tetapi perancangan Allah itulah yang paling terbaik. Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati setiap hamba-hambaNya.

Hari ini, hari Jumaat 24 April 2020 bermulalah hari pertama di bulan Ramadhan tahun 1441 Hijrah. Pertama kalinya aku rasa banyak perubahan yang berlaku di bulan Ramadhan kali ini. Malaysia dah pun memasuki Fasa ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 14 April 2020 sehingga 28 April 2020. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga akan dilanjutkan sehingga Fasa ke-4 dari 29 April 2020 sehingga 12 Mei 2020. Bila terjadinya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bulan Ramadhan, maknanya
  • tiada lagi lah berbuka puasa bersama keluarga (ibu  bapa) di kampung
  • tiada lagi lah berbuka puasa bersama saudara-mara di kampung
  • tiada lagi lah berbuka puasa bersama rakan-rakan
  • tiada lagi lah membeli makanan di bazar Ramadhan
  • tiada lagi lah berbuka puasa di luar
  • tiada lagi lah berbuka puasa di surau atau masjid
  • tiada lagi lah solat berjemaah di surau atau masjid
  • tiada lagi lah bermoreh di surau atau masjid
  • dan lain-lain
Banyak lagi perkara-perkara yang boleh kita lakukan sebelum ini bila menjelangnya bulan Ramadhan, perkara-perkara tersebut kita dah tak boleh buat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan atas faktor-faktor kesihatan. Tipulah kalau aku rasa tak sedih dan rindu. Kalau dulu masa duduk kuarters, berjalan kaki je pergi terawih berjemaah dekat surau dengan suami. Sekarang bila dah pindah, naik motor atau kereta pergi surau sebab kena melalui beberapa lorong rumah.  Rindu nak dengar suara azan, suara iqamat, suara orang mengaji, suara makcik/jiran sebelah tegur, suara jemaah, suara senda gurau waktu bermoreh dan lain-lain. Nak merasai semua tu hanya di bulan Ramadhan. Tapi tahun ni buat pertama kalinya, aku tak dapat merasainya. Bulan Syawal  (Hari Raya Aidilfitri) dan Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha) tahun ni pun belum tentu kita dapat merasai solat berjemaah bersama-sama. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah SWT. Di sebalik musibah yang kita hadapi, aku percaya banyak hikmah yang boleh kita santuni.
  • masih lagi boleh berbuka puasa bersama-sama dengan suami isteri dan anak-anak
  • masih lagi boleh berhubung dengan keluarga, saudara-mara, rakan-rakan yang jauh
  • masih lagi boleh menggunakan food delivery kalau teringin masakan luar pula
  • masih lagi boleh bertukar-tukar jadah berpuasa dengan keluarga, jiran, sanak-saudara dan rakan-rakan yang tinggal berdekatan
  • masih lagi boleh solat berjemaah bersama suami isteri dan anak-anak
  • masih lagi boleh mengaji Al-Quran bersama insan tersayang yang jauh melalui video call
  • dan lain-lain
Aku juga percaya di sebalik ujian wabak penyakit Coronavirus Covid-19 yang melanda dunia pada masa kini, banyak hikmah bukan sahaja pada manusia tapi hikmah buat haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Wabak yang mengorbankan berpuluh-puluh ribu nyawa dan masih tiada penawar ke atas sesiapapun. Benarlah, sehebat atau berkuasa mana pun seorang manusia, ternyata Allah itu Maha Hebat dan Maha Berkuasa ke atas mana-mana yang Dia kehendaki.
Aku pun tak pasti bila wabak penyakit Coronavirus Covid-19 ini akan berakhir, tapi aku tahu jika semua orang mengambil berat dan bahagian dalam langkah-langkah pencegahan penyebaran virus Coronavirus Covid-19, InsyaAllah kita pasti dapat memutuskan rantaian Covid-19 seratus-peratus. Bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama mendoakan agar wabak penyakit Coronavirus Covid-19 dapat ditangani dengan sepenuhnya dan kita dapat kembali menjalankan kehidupan harian seperti sedia kala. Moga manusia mengambil iktibar atas apa yang telah terjadi dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini dengan lebih berhati-hati.

Aku sebagai pemilik blog ingin memohon ampun dan maaf kepada semua andai sepanjang aku berblog ada perkara-perkara yang menyakitkan atau mengguris hati sesiapa pun. Di kesempatan ini, aku dan suami  ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1441H buat semua yang pernah mengenali diri kami secara langsung atau tidak langsung. Moga Ramadhan kali ini memberi peluang kepada kita semua untuk memperbanyakkan lagi ibadah kita seterusnya mendekatkan kita kepada Maha Pencipta. Amin Ya Rabbal Alamin.

1 comment: