Monday 30 April 2018

Amalan Malam Nisfu Syaaban.

Assalamualaikum...
Malam Nisfu Syaaban bermula pada :
Maghrib 30 April 2018 bersamaan 14 Syaaban 1439H
hingga Subuh Mei 2018 bersamaan 15 Syaaban 1439H


Kita sedang berada dalam bulan Syaaban dan hampir menemui satu malam yang dinamakan malam nisfu Syaaban. Sudah tentu pada malam tersebut mempunyai keistimewaan tertentu kerana bulan Syaaban sendiri sudah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Rasulullah SAW sendiri menyatakan bahawa catatan amalan kita akan dipersembahkan kepada Allah SWT dalam bulan Syaaban seperti yang terkandung di dalam hadith baginda SAW yang diceritakan oleh Usamah bin Zaid RA dan diriwayatkan oleh al-Nasa’i : "Wahai Pesuruh Allah SWT, saya tidak pernah melihat tuan berpuasa lebih banyak daripada tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban.

Baginda SAW menjelaskan : "Itulah bulan yang sering diabaikan kebanyakan orang. Ia datang antara Rejab dan Ramadan. Bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan kepada Tuhan sekalian alam. Dan aku cukup suka jika amalanku diangkat sedangkan aku sedang berpuasa."
(Riwayat al-Nasa'i)
Aisyah RA juga menyebut: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda SAW pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai bukti betapa Baginda SAW sangat mengharapkan rekod dokumentasi catatan amalan baginda dipersembahkan kepada Allah SWT dalam keadaan baik walaupun Baginda SAW terpelihara daripada dosa dengan memperbanyakkan berpuasa di dalam bulan Syaaban sebagaimana Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Ini disebabkan laporan amalan dipersembahkan kepada Allah SWT pada detik-detik itu.

Itulah kelebihan bulan Syaaban secara umum. Namun pada malam menjelang 15 Syaaban, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa pada malam itu ada keistimewaannya tersendiri.

Maka masyarakat Melayu sangat menghargai dan tidak melepaskan peluang merebut peluang besarnya kelebihan pada malam itu dengan mengadakan beberapa ibadat seperti membaca Yasin di surau dan masjid.

Ada yang membacanya sebanyak tiga kali dan diakhiri bacaan doa tertentu. Ada yang menyarankan solat tertentu dan ada yang berpuasa keesokan harinya.

Sebenarnya tiada amalan khusus yang diwajibkan pada malam nisfu Syaaban. Adalah menjadi bid’ah jika kita mewajibkan ibadat tertentu pada malam itu, namun melakukan sebarang ketaatan pada malam itu sebagai memenuhi malam yang sangat istimewa itu adalah tidak dilarang.

Membaca al-Quran dari mana-mana surah termasuk surah Yassin juga dikira sebagai satu ketaatan. Hendak membaca banyak kali pun tiada halangan tetapi bukan bilangan yang dikejar, tetapi bacalah dengan memenuhi hak-hak bacaan yang sebenar dan lakukanlah dengan tertib, tadabbur dan ta’aqqul.

Baca sekali dengan tartil dan penuh penghayatan jauh lebih baik dari membacanya secara tergesa-gesa untuk mengejar bilangan. Selepas itu bacalah apa-apa doa yang kita hajati kepada Allah SWT. Tidak terikat dengan doa yang biasa dibaca sebelum-sebelum ini.

Namun kalau kita berhasrat membaca doa sedia ada pun tiada halangannya selama mana kita tidak menganggap ibadat tadi adalah agenda wajib pada malam itu. Lakukanlah solat sunat mutlak ataupun solat sunat yang disunnahkan Nabi SAW pada bila-bila masa seperti solat sunat tasbih dan sebagainya pada malam itu. Pada keesokan harinya, jika ada yang sudah melazimi dan memperbanyakkan berpuasa dari awal bulan Syaaban bolehlah meneruskan puasa sunatnya.

Namun ada satu tawaran hebat daripada Allah SWT pada malam itu. Iaitu tawaran pengampunanNya pada malam itu sangat lumayan, namun terdapat dua golongan yang terkeluar dari tawaran berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diperakui oleh ulama sebagai hadith yang paling sahih berkaitan dengan kelebihan malam nisfu Syaaban : "Allah SWT akan muncul (rahmat dan pengampunanNya) kepada seluruh makhlukNya pada malam nisfu Syaaban dan mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali orang yang mensyirikkan Allah SWT dan orang yang saling bermusuhan."
(Hadith Riwayat al Tobroni)

Kelebihan pada malam itu ialah tawaran pengampunan terbuka luas. Ibadat paling utama pada malam itu ialah membersihkan diri, keluarga dan masyarakat dari gejala syirik dan semua perkara yang mengarah kepada kesyirikan.

Alangkah baiknya pada malam itu masyarakat diingatkan bentuk fahaman yang membawa kepada pegangan menidakkan kuasa mutlak Allah SWT seperti fahaman yang memfokuskan manusia dan kehendaknya agar dipenuhi, melihat hukum-hakam agama sebagai penghalang kepada kebebasan mutlak individu, fahaman meletakkan aqal melepasi nas-nas syarak, menghalalkan dan mengiktiraf hubungan terlarang dan sebagainya.

Ini adalah contoh menidakkan kuasa mutlak Allah SWT dan mengecilkan had kuasa agama pada ruang lingkup terhad dan selebihnya diserahkan hak kuasanya ditentukan oleh makhlukNya.

Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah menamatkan permusuhan sesama saudara Islamnya. Jangan kita tersilap, hadir ke masjid beramai-ramai, membaca Yassin sampai tiga kali, berdoa selepas itu memohon keampunan, namun masih menyimpan permusuhan sesama sendiri yang akan menghalang pengampunan Allah SWT.

Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya : “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (Al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya. 

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bida'ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bida'ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bida'ah, dan setiap yang bida'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.” 
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Wallahua'lam

Oleh : Haji Zamri Hashim & Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Diedit oleh : Adawiyah Akbar

No comments: