>

Sunday, 28 May 2017

Salam Ramadhan 1438H.

Assalamualaikum...
Ramadhan Kareem, Ramadhan Mubarak.

Alhamdulillah, telah hampir sampai kepada kita Ramadhan yang mulia. Bulan yang dinanti-nantikan oleh jiwa yang merindui kasih sayang Allah SWT dan hamba-hamba yang bersyukur. Bulan yang dianggap sebagai beban, halangan, berat, oleh mereka yang tidak mengendahkan perintah & larangan Allah SWT.

Bagi seorang insan yang telah berusia puluhan tahun, maka Ramadhan telah dilaluinya berkali-kali. Bagi saya, ini Ramadhan yang ke 20, semenjak saya mula berpuasa pada umur 8 tahun.

Mungkin bagi ramai, telah lali.

Ramadhan hanya dilihat sebagai 'halangan' untuk diri menyambut Eidul Fitri, Hari Raya. Nak beraya sebulan, kena menghadap Ramadhan sebulan terlebih dahulu. Tak sabar nak raya, kena tabah lalui Ramadhan. Mentaliti senget yang sepatutnya perlahan-lahan kita hapuskan daripada minda diri, keluarga dan masyarakat.

Namun malang, belum Ramadhan kita sudah sibuk dengan fesyen-fesyen Raya. Fesyen Raya yang tak tutup aurat pun ada dah disediakan siap-siap. Ramadhan, bulan menyucikan diri, bulan keinsafan, bulan memperbaiki diri, macam tak ada. Orang dah bersiap-siap nak berfesyen tak tutup aurat 1hb Syawal nanti. Silap haribulan mungkin rancangan-rancangan televisyen khas Raya 1hb Syawal nanti yang berhibur tak kenal halal haram macam semalam Ramadhan baru pergi tu pun dirakam sebelum Ramadhan lagi.

Ramadhan belum pun datang, kita dah siap-siap bersedia hendak meninggalkannya. Ramadhan macam tak ada. Tidak dekat di hati kita.

Sering saya ulang dan akan saya ulang lagi kali ini, banyak-banyak kali kita telah melalui Ramadhan, hendaklah kita bertanya kepada diri kita: "Di manakah semua Ramadhan itu di dalam diri kita hari ini?"

Hendaklah kita berusaha menjadikan Ramadhan sebagai stesen peningkatan diri, bukan sekadar satu rutin tahunan yang terpaksa dilalui demi hendak berhari raya selama 30 hari.

Hendaklah kita ingat mengapa 1hb Syawal itu dinamakan sebagai Eidul Fitri. Eid itu perayaan. Eidul Fitri bermaksud Perayaan Fitrah. Mengapa dinamakan perayaan fitrah?

Kerana sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka akan diampunkan untuknya dosa-dosa yang pernah dilakukan." Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

Apabila seseorang menghidupkan Ramadhan dengan penuh kesungguhan dan keimanan, maka Allah akan mengampunkan seluruh dosa-dosanya. Menjadilah dia seperti bayi yang suci, kembali dia kepada fitrahnya, bersih.

Itu yang dirayakan pada 1hb Syawal. Keraian untuk mereka yang telah bersungguh-sungguh berusaha membersihkan dirinya dengan melalui Ramadhan, untuk kembali kepada fitrahnya, bersih dan suci dari dosa-dosa.

Dan hanya 1hb Syawal sahaja kita sebenarnya ber Eidul Fitri. 2hb Syawal sudah tidak Eidul Fitri. Menandakan apa? Menandakan itulah tujuannya Ramadhan. Untuk dibawa terus ke dalam kehidupan. 1 hari diraikan (bak hari graduasi), kemudian pergilah, pamerkan hasil Ramadhan di dalam hidupmu!

Tapi orang kita? Eidul Fitrinya 30 hari! Tak salahlah nak beraya, ziara menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan, mengerat ukhuwwah dan silaturrahim. Tapi berhiburnya tu, kalau di televisyen, sampai ke hari 30 masih ada rancangan Raya. Kalau patuh syariat tak apalah juga. Tapi kita semua tahu, hiburan kebanyakan dipamerkan di media massa jauh dari nilai-nilai Islam. Itukah dia rupanya perayaan kembali kepada fitrah? Dengan melumurkan dosa-dosa kembali kepada diri selepas Allah membuka peluang keampunan seluas-luasnya?

Hanya yang tidak bersungguh melalui Ramadhan sahaja akan tergamak bertindak sedemikian dan memberikan sokongan untuk aktiviti-aktiviti tersebut.

Rakan-rakan, sampailah kita di hari terakhir Syaaban.
Gerbang Ramadhan besar terpampang di hadapan kita, menanti waktu Maghrib untuk terbukanya ia.

Apakah Ramadhan kali ini 'sekadar satu lagi Ramadhan'?
Atau kita akan benar-benar pilih, untuk ini menjadi Ramadhan yang bakal meningkatkan diri kita ke satu tahap yang lebih tinggi, dalam hidup kita sebagai seorang Muslim?
Kita pilih.

Ramadhan Kareem, Ramadhan Mubarak, saya ucapkan kepada semua, rakan-rakan Page ini, dan pembaca-pembaca yang sudi baca coretan ini sehingga akhir. Anda memang terbaik.

Sama-sama kita saling mendoakan.

Moga kita berjaya melalui Ramadhan kali ini, mencapai Taqwa dan kembali kepada fitrah.
Allahumma ballighna Ramadhan!
Katakanlah: "Amiin!"
sumber : HilalAsyrafOfficial

No comments: