Tuesday 6 September 2016

Penat Jadi Baik?

Assalamualaikum...
Kehidupan ini walaupun hakikatnya sebentar, namun bagi manusia yang melaluinya, yang disibukkan dengan pelbagai urusan di dalamnya, ia terasa panjang. Mengapa terasa panjang? Kerana kita tidak tahu bila ia akan berakhir. 
Untuk setiap manusia itu pula, mereka menempuh jalan kehidupan ini dengan pelbagai tribulasi. Ada yang diuji dengan kesukaran, ada yang diuji dengan kesenangan. Ada yang diuji dengan rakan-rakan, ada yang diuji dengan keluarga, ada yang diuji dengan orang lain. Ada yang diuji dengan kejatuhan, ada yang diuji dengan kebangkitan, ada yang diuji dengan cabaran untuk istiqomah. 
Maka dalam menempuh kehidupan, akan ada manusia yang kepenatan. Penat jadi baik. Penat menjadi hamba yang patuh kepada Allah SWT. Sama ada penat kerana terasa panjangnya perjalanan untuk menjadi baik itu, menempuh kesukaran untuk tidak tersasar dari jalan kebaikan, atau penat kerana diuji oleh 'orang-orang yang baik', mungkin ditipu oleh mereka, dipergunakan oleh mereka, mungkin dikecewakan oleh sikap mereka. Pelbagai ragam. 
Namun, ada satu bicara yang sering berulang dalam kehidupan saya. Yang suka juga saya ulang kepada diri saya. "Putus asa di tengah jalan kebaikan itu, adalah kerana kesilapan di titik awal." Maksudnya, kadang kita penat melakukan kebaikan, rasa tak mahu sudah tergolong dalam golongan orang-orang yang taat kepada Allah SWT, yang patuh perintah Allah SWT, adalah kerana kesilapan kita ketika kita mula membuat keputusan untuk menjadi baik. Kita punya niat yang salah, tujuan yang salah, matlamat yang salah ketika membuat keputusan untuk menjadi baik itu. 
Diingatkan kepada sekalian ummat Islam, akan hadith yang tersangat penting berkenaan niat. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia dek habuannya, atau kerana wanita kerana ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan." Hadith Riwayat Bukhari & Muslim. 
Diingatkan kepada kita, bahawasanya apabila kita berhijrah (kiasan kepada sebuah tindakan) kerana Allah SWT dan rasulNya, maka kita akan pergi kepada Allah dan rasulNya. Namun sekiranya kita melakukan sesebuah tindakan itu kerana niat yang lain, duit, populariti, pujian orang, perhatian orang atau apa sahaja selain Allah dan Rasul, maka kita akan perbuatan kita itu akan terarah kepada perkara-perkara tersebut, selain Allah dan Rasul.
Rakan-rakan, niat itu biasanya di permulaan tindakan. Sama ada kita melafazkannya atau sekadar lintasan hati, niat akan mencorakkan tindakan kita yang seterusnya. Penat jadi baik? Apa niat kita jadi baik sebelum ini sehingga penat jadi baik? Penat itu lumrah, namun orang yang jelas niatnya, orang yang bersih matlamatnya, akan mampu mengatasi kepenatan itu. Akan melihatnya sebagai cabaran untuk diatasi, bukan tewas dengannya. Penat kerana dikhianati, dipergunakan, dimanipulasi oleh orang-orang yang disangka baik? Maka belajar dari pengalaman dan berusaha untuk tidak diperlakukan sedemikian buat kali yang seterusnya. Apakah kerana manusia yang berperangai hodoh, bersikap buruk, maka kita penat untuk mentaati Allah SWT? 
Apakah kita akan berdiri di hadapan Allah SWT kelak, dan memberikan alasan kepadaNya: "Ya Allah, aku tak patuh arahan Engkau, aku menderhakai Engkau, kerana aku penat ya Allah." Apakah kita fikir, hendak mendapatkan syurga itu, kita akan memperolehinya dengan lenggang kangkung sahaja? 
Tidakkah kita menghayati firman Allah SWT berikut?"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." Surah Al-Baqarah ayat 214. 
Kita akan teruji apabila menjadi baik. Orang-orang sebelum kita bahkan diuji sehingga walaupun mereka bersama Rasul, yakni orang yang mendapat wahyu langsung daripada Allah SWT, mereka terpaksa bertanya: "Bilakah pertolongan Allah akan sampai?" Kerana goncangan ujian yang tersangat hebat. Begitu sekali orang-orang baik akan diuji.Allah tidak akan melepaskan manusia bersahaja mengaku bahawa mereka telah beriman, mereka adalah orang baik, tanpa memberikan mereka ujian. "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" Surah Al-Ankabut ayat 2. 
Mengapa? Supaya kita boleh melihat sendiri, apakah kita jujur menjadi orang yang baik. Apakah kita jujur dengan keimanan kita. "Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." Surah Al-Ankabut ayat 3. 
Maka akhirnya, apabila kita terasa penat dengan kebaikan, apabila kita rasa penat hingga mahu meninggalkan kebaikan itu sendiri, kita perlu kembali bertanya kepada diri kita."Mengapa aku jadi baik?" Tidak pernah terlewat untuk kita memperbaiki niat kita. Kembali membetulkan matlamat kita. Kembali membersihkan tujuan kita. Tidak pernah terlewat. Bahkan mungkin kepenatan itu adalah teguran halus daripada Allah SWT untuk kita bermuhasabah. 
Kadang ada antara kita jadi baik kerana trend, kerana ikut-ikut. Baguslah, sekurang-kurangnya ikut-ikut ke arah kebaikan. Namun menjadi baik yang sebenar itu tidak akan mampu kekal dengan ikut-ikut semata-mata. Ia mesti berdiri di atas keimanan dan keyakinan yang jelas. 
Kalau orang bertanya kepada saya, apakah tidak penat hendak patuh kepada Allah SWT dan menjauhi laranganNya sepanjang kehidupan kita? Saya akan jawab, penat, dan ianya bukan mudah. Habis tu, apa yang membuatkan kita mampu untuk terus menerus berada di atas jalan ini? Jawapan saya ialah IMAN. Kerana saya yakin, bahawa selepas kehidupan ini berakhir, saya akan didirikan di hadapan Allah SWT. Allah SWT akan menilai seluruh kehidupan saya, dan kemudian saya akan berakhir di salah satu antara dua tempat - syurga atau neraka. 
Saya beriman dengan itu semua. Maka sering saya bertanya, sekiranya saya pulang berhadapan dengan Allah SWT, apakah yang saya akan persembahkan di hadapanNya? Apakah kehidupan yang penuh dengan dosa dan noda? Kehidupan yang penuh dengan keingkaran dan kemaksiatan? Seterusnya saya dilempar ke neraka dan kekal abadi terseksa di dalamnya? Alangkah celakanya ketika itu. Pastinya bukan itu pengakhiran pilihan saya. 
Saya mahu berakhir dalam dakapan rahmat Allah SWT, yang kemudiannya saya dikurniakan syurga. Kekal abadi bahagia di dalamnya. Untuk pengakhiran itu, saya sanggup berpenat lelah di atas muka bumi ini. Ya, saya tidak sempurna. Saya tahu itu, tetapi saya tidak akan pernah mengalah. Saya akan bangkit dan bangkit lagi. Kenapa?Kerana saya BERIMAN dengan wujudnya pertemuan antara saya dan Allah SWT di akhirat kelak. Kerana saya BERIMAN lah, saya pilih untuk jadi baik. Saya pilih untuk berusaha menjadi baik. Saya pilih untuk lawan rasa penat, dan tidak berputus asa. Saya pilih untuk bangkit dan bangkit dan bangkit, walau berkali-kali saya jatuh. 
Penat jadi baik?Saya BERIMAN bahawa Allah tidak pernah penat memberikan saya rezeki, Allah tidak pernah penat memberikan saya peluang untuk bertaubat, Allah tidak pernah penat mencurahkan kasih sayangNya kepada saya. Maka bagaimana saya boleh menjadikan penat untuk menjadi alasan agar saya berhenti menjadi hambaNya yang baik?
Rakan-rakan yang saya muliakan, penat dan kecewa itu lumrah. Kita manusia, ada kelemahan dan kekurangan. Namun setiap cabaran itu adalah untuk kita atasi. Kembalilah kita bermuhasabah, periksa semula keimanan kita, periksa semula niat kita. Sesungguhnya Islam itu tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang hipokrit. Tidak pula Allah SWT itu bodoh dan alpa untuk ditipu oleh mereka yang mempergunakan kebaikan, yang memanipulasi Islam untuk kepentingan diri sendiri. Kita bersihkan semula niat dan tujuan kita menjadi baik, menjadi hambaNya yang patuh. Hanya kerana Allah SWT. Hanya kerana hendak mendapatkan keredhaanNya. Hanya untuk pulang dalam keadaan yang baik di sisiNya. Selain itu, segalanya kecil bagi kita. 
Daripada Allah SWT kita datang, kepada Allah SWT kita kembali.Muhasabah.sumber : HilalAsyrafOfficial
Perkongsian untuk semua.
Untuk manfaat dalam menempuhi kehidupan di dunia ini.
Jadi penghuni syurga itu tak mudah.
Maka, ujian/nikmat itulah kayu pengukurnya.
Moga kita dalam kalangan pilihan Allah.
InsyaAllah.

No comments: