Wednesday 9 January 2013

Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual Ekoran Kegagalan Rumah Pam Wangsa Maju Dan Pudu Hulu Baru - SYABAS Jangka Tempoh Pemulihan Lebih Lama

Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual Ekoran Kegagalan Rumah Pam Wangsa Maju Dan Pudu Hulu Baru - SYABAS Jangka Tempoh Pemulihan Lebih Lama


Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memberi penjelasan serta mengemaskini kedudukan terkini kepada para pengguna berikutan gangguan bekalan air yang dihadapi oleh sejumlah 107,760 akaun ekoran kerosakan dua (2) rumah pam, iaitu rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru semenjak 29 Disember 2012 dan 1 Januari 2013 yang lalu. Pihak SYABAS telah memaklumkan kepada para pengguna status terkini dari semasa ke semasa termasuk memberi taklimat dan penerangan secara terus serta menerusi pihak media massa berkaitan masalah tersebut.

Setakat ini, Rumah Pam Pudu Hulu Baru telahpun beroperasi sepenuhnya seperti sediakala semenjak 3 Januari 2013 sehingga hari ini. Dengan itu, kawasan bekalan air dari rumah pam Pudu Hulu Baru yang melibatkan 18,000 akaun telah pulih sepenuhnya pada 6 Januari 2013.

Manakala sistem pam di Rumah Pam Wangsa Maju pula pada masa ini beroperasi pada tahap 180 JLH semenjak 2 Januari 2013 sehingga hari ini. Sepanjang tempoh tersebut, walaupun berlakunya hentitugas beberapa kali untuk beberapa jam, operasi pam tersebut telah dapat dihidupkan semula. Disebabkan itu, kadar pengepaman ini terpaksa dihadkan kepada 180 JLH berbanding kadar pengepaman biasa sehingga mencecah 210 JLH. Dengan pengoperasian kedua-dua rumah pam tersebut, kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air telah pulih secara berperingkat-peringkat.

Bagi Wilayah Gombak, kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini telahpun 95% pulih. Manakala pemulihan bagi Wilayah Kuala Lumpur pula setakat ini adalah 40%. Keadaan pemulihan di Wilayah Kuala Lumpur yang lambat ini adalah disebabkan oleh pengurangan kadar pengepaman air terawat dari rumah pam Wangsa Maju sebanyak 30 JLH yang mana rumah pam tersebut menghadapi masalah apabila dikehendaki beroperasi melebihi kadar pengepaman tersebut iaitu 170 hingga 180 JLH.    

Sehubungan itu, pihak SYABAS menjangkakan tempoh pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akan mengambil masa yang lebih lama dan dijangka terdapat beberapa kawasan yang tidak dapat dipulihkan sepenuhnya yang melibatkan lebih kurang 28,000 akaun.

Kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air adalah seperti berikut :

Kawasan Yang Masih Mengalami Gangguan Bekalan Air

Wilayah Kuala Lumpur:
  1. Taman Pandan Jaya
  2. Taman Cempaka
  3. Taman Bakti
  4. Taman Nirwana
  5. Kampung Pandan Dalam
  6. Taman Cahaya
  7. Pandan Cahaya
  8. Taman Dagang
  9. Taman Shamelin
  10. Taman Tenaga
  11. Bandar Sri Permaisuri
  12. Desa Pandan
  13. Flat Sri Melaka
Jumlah akaun : 28,000 akaun

Dalam keadaan sekarang, proses pemulihan bekalan air tidak dapat dicapai sepenuhnya kerana tidak ada kapasiti rezab bekalan air. Pada masa sekarang, kapasiti bekalan air terawat yang boleh diagihkan adalah 4,436 JLH dan permintaan bekalan air pada tempoh kebelakangan ini telah melebihi 4,400 JLH sehingga tidak ada rezab bekalan air bagi membantu proses pemulihan dengan menyalurkan bekalan air daripada sumber lain.

Dengan permintaan air terus meningkat tahun demi tahun dari kawasan yang dibekalkan oleh Rumah Pam Wangsa Maju, pihak SYABAS ingin mengambil peluang ini untuk menjelaskan bahawa dari awal lagi SYABAS menjangkakan akan timbul masalah memandangkan operasi pam ini tidak boleh ditingkatkan secara berterusan melepasi kapasitinya. Selain daripada itu, kawasan yang dibekalkan oleh Rumah Pam Wangsa Maju sepatutnya telah dirancang untuk mendapat bekalan air tambahan daripada Loji Rawatan Air Langat 2. Walaupun begitu, memandangkan Loji Rawatan Air Langat 2 telah ditangguhkan tanpa mengetahui tarikh siapnya, maka seawal 2009 lagi SYABAS telah membawa isu ini kepada pihak Kerajaan dan memajukan cadangan supaya satu sistem pengepaman tambahan yang baru dibangunkan supaya tidak ’overload’ sistem yang sedia ada secara berterusan bagi menampung permintaan yang kian meningkat. Walaupun telah disusuli beberapa kali oleh pihak SYABAS, hanya pada bulan Mac 2012 pihak Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembangunan sistem pengepaman tambahan ini yang mana akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor menggunakan pinjaman dari pihak Kerajaan Persekutuan. Pada masa ini, pihak SYABAS masih belum dapat kepastian bila projek ini akan siap kerana ia masih lagi di peringkat rekabentuk oleh juruperunding yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Dari segi pengurusan bekalan air alternatif serta bagi meringankan kesulitan pengguna, SYABAS mempunyai sejumlah 40 buah lori tangki yang mana kesemuanya telahpun digunapakai untuk menghantar bekalan air kepada pengguna yang terlibat. Pihak SYABAS turut menerima bantuan lori tangki daripada negeri-negeri lain iaitu Syarikat Air Johor (7 lori tangki); Syarikat Air Darul Aman (5 lori tangki); Lembaga Air Perak (4 lori tangki); Syarikat Air Melaka Berhad (2 lori tangki); Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (2 lori tangki); dan Syarikat Air Negeri Sembilan (1 lori tangki). Manakala bantuan lori tangki daripada negeri Selangor menerusi Pihak Berkuasa Tempatan sebelum ini adalah daripada Bandaraya Petaling Jaya tetapi (3 lori tangki); tetapi setelah bertugas untuk dua (2) hari, lori-lori tersebut tidak bertugas lagi.

Untuk makluman juga, sepanjang Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) diaktifkan iaitu dari tempoh 29 Disember 2012 hingga  jam 12.00 tengah malam, (8 Januari 2013), secara keseluruhannya bekalan air menerusi lori-lori tangki telah dihantar sebanyak 1,534 trip penghantaran ke kawasan-kawasan yang terjejas, yang meliputi 1,036 pergerakan lori tangki telah dilakukan di wilayah Kuala Lumpur dan 498 pergerakan di wilayah Gombak. Bagi tangki air statik, SYABAS telah meletakkan sejumlah 250 tangki air statik di wilayah Kuala Lumpur dan Gombak sepanjang tempoh tersebut.

Pihak SYABAS menerusi seramai 450 orang kakitangan yang terlibat dengan ERP Kod Kuning ini akan terus melakukan kerjanya serta melaksanakan pemantauan berterusan selama 24 jam bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi pengguna disebabkan oleh gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku di wilayah Kuala Lumpur dan Gombak ini.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar terus menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat sepanjang tempoh pemulihan bekalan air ini berlaku bagi membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi. Pada masa ini, jumlah panggilan yang diterima oleh SYABAS menerusi talian bebas tol 1 800 88 5252 masih lagi tinggi khususnya dari wilayah Kuala Lumpur.

Justeru itu, bagi menjimatkan masa, SYABAS menyarankan para pengguna untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung gangguan bekalan air ini menerusi laman web www.syabas.com.my. Pengguna juga boleh membuat aduan atau pertanyaan di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’.

DATO’ IR. LEE MIANG KOI
Ketua Pegawai Operasi
sumber : http://www.syabas.com.my/

No comments: