Wednesday 1 August 2012

Ramadhan 1433H.

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, Allah SWT masih memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini sebagai bekal untuk kehidupan di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Ramadhan 1433H, merupakan Ramadhan yang kedua di mana aku menjalani ibadah puasa sebagai seorang isteri. Tak sangka, hari demi hari begitu pantas fasa 10 Ramadhan yang pertama telah berlalu. Minggu ini bermulalah fasa 10 Ramadhan yang kedua sedang berlaku dan minggu hadapan fasa 10 Ramadhan yang terakhir pula akan menyusul. Di fasa terakhir 10 Ramadhan inilah akan munculnya Lailatul Qadar (Malam Al-Qadar). Bila? Kita tak akan pernah tahu kerana Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui dan Dia sembunyikan kemunculan malam Lailatul Qadar daripada hamba-hambaNya supaya kita sebagai hambaNya mempergiatkan lagi amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan tanpa meninggalkan amalan wajib jika hendak menemui malam yang lebih baik dari 1000 malam itu.
Semalam, semasa mendengar tazkirah dari kelas agama, Ustaz memberitahu bahawa matlamat Ramadhan bukanlah beribadah semata-mata dan bukanlah untuk mendapat ganjaran/pahala di atas ibadah yang kita lakukan. Apalah gunanya bersolat terawih 20 rakaat setiap hari, tetapi ibadah yang kita lakukan tidak meresap dan tidak memberi kesan langsung ke dalam hati dan kita lakukannya sekadar-sekadar sahaja. Dan sebenarnya-sebenarnya, matlamat akhir Ramadhan adalah TAQWA (taqwa itu di dalam hati yakni rasa takur kepada Allah, rasa rendah diri dan hina pada pandangan Allah, rasa kerdil di sisi Allah, rasa kebesaran dan keagungan terhadap Maha Pencipta dan lain-lain). Dan sebab itulah, ibadah-ibadah yang kita lakukan bukan hanya dipergiatkan hanya di bulan Ramadhan tetapi diistiqamahkan di bulan-bulan yang lain juga.

Sesungguhnya, syaitan dan iblis mempunyai pelbagai agenda mereka tersendiri untuk memerangkap dan menjerat manusia untuk berpaling daripada jalan yang benar. Mereka tidak pernah berhenti dan tidak pernah berehat untuk memperdayakan manusia. Dan kerana itulah, di bulan Ramadhan inilah kita seharusnya memperhebatkan lagi ibadah wajib dan sunat supaya kita dapat mencapai matlamat akhir tersebut iatu taqwa kepada Allah SWT. Nampak mudah bukan? Ia akan bertambah mudah jika kita sebagai hambaNya menjadikan ibadah-ibadah tersebut sebagai makanan kita, sebagai perbuatan kita, sebagai baja dalam kehidupan kita. InsyaAllah, kita akan dapat hasilnya...

Syukran jazillah khairan, ya Ustaz untuk perkongsian kelas tersebut. Apalagi sahabat-sahabat Islamku, mari mengimarahkan bulan Ramadhan yang mulia ini. Tak sempat bertarawih di masjid, di rumah pun boleh. Nak seribu daya taknak seribu dalih. #remindformyself. :")

Alhamdulillah, dapat juga buat entry sebegini akhirnya. Selamat berbuka puasa!

No comments: