Sunday, 12 June 2011

Bersatu Semula Di Syurga, InsyaAllah... ♥

Assalamualaikum...

Sebelum baca, sediakan tisu dahulu ye. *Pesanan ringkas dari owner blog Scooterist Ada&Naz. ((=
sumber : http://selamattinggal.blogspot.com
Desir pantai mengalun ombak, tiupan angin yang menyapa mengurai jilbab hijauku. Kanak-kanak kecil riang berkejaran. Sesekali mengelak ombak yang memikul pantai tanpa diundang.

Tiba-tiba tangisan sang anak menjerit meminta simpati rakannya,"Istana kita runtuh. Ombak buat"seraya itu, tangannya ditarik sang rakan mengajaknya membuat istana ditempat baru. Jauh sedikit dari gigi pantai. Bendera kecil bewarna merah akhirnya diletakkan di puncak istana . Mereka gembira melompat-lompat bertepuk tangan. Hasil dari usaha tanpa jemu.

Terus merenung ditengah lautan yang luas, Aku mengamati bot nelayan yang menuju ke sisir pantai, dialihkan pada air yang tenang ditengahnya.

"Masih memikirkan apa lagi Nurul?" Sapaan lembut sahabat kesayanganku Insyirah yang memiliki wajah manis anak melayu kacukan jawa dan banjar yang dikenalinya dahulu sejak terlanggar alam tarbiyyah di  universitinya setahun yang lalu.

"Syira , damaikah Syira bercuti di sini? Tenangkah hatimu Syira?" Tanyaku kepada Insyirah dengan tiba-tiba.

"Pasti Nurul, segenap waktu ku selain menikmati keindahan alam dan makan, Syira akan habiskan masa untuk bersama Dia dan membaca. Kenapa Nurul Tanya begitu? Nurul tak tenangkah? Atau ada lagi yang membelenggu dirimu sahabatku?" Tanya Syira kepada ku kembali.

"Syira, Nurul rindukan dia Syira" Terkeluar juga lafaz yang cuba disimpan selama ini.

"Rindu siapa Nurul? Tunang Nurul kah?" Tanya Insyirah lagi cuba untuk menyelami perasaan ku.

"Nurul tahu tidak selayaknya Nurul rasa begitu, tapi ini naluri Syira. Nurul simpan dan Nurul luah hanya pada Dia selama ini." Air mata yang ditahan-tahan tidak mampu disimpan.

"Subhanallah. Sabar Nurul. Jika ada jodoh kau tetap akan bersama dia juga. Perlihara dirimu, lengkapkan dirimu agar Nurul lebih bersedia menjadi pembantu mujahidmu Nurul. Berbincanglah dengannya dan dengan keluarga Nurul untuk percepatkan urusan kalian"Nasihat Insyirah cuba untuk menenangkan.

"Tidak, tidak semudah bicaramu Syira."

"Apa lagi yang kalian fikirkan? Bukankah mempercepatkan ibadah itu lebih mudah urusan dakwah kalian? Lebih terjaga daripada kau terus bermain perasaan? Mengelak fitnah dan masalah hatimu. Syira rasakan walau sesibuk mana Nurul, pasti sukar juga nak melawan fitrah. Kau akan merindui yang tidak halal bagimu Nurul. Maaf jika kasar teguranku"

"Kau takkan faham Syira"

"Ya , aku memang tidak akan faham jika tidak difahamkan Nurul. Aku bukan bomoh atau pawang yang boleh meneka-neka isi hati kau Nurul. Malah aku bukan Tuhan yang Maha mengetahui."

"Syira, aku cuma pinta kau doakan kami akan bersama." Seraya itu aku meninggalkan Insyirah menuju ke jeti pantai.

Sujud malam itu berbeza sekali. Nurul berasa amat tenang walau air mata laju terus mengalir dipipinya. Kalam Al-Furqan ditatapi namun hanya dibaca ayat yang indah dalam surah Ar-Rad pada ayat yang ke 28.
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram".
Dibuka lembaran lain .
"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya.'' Al-Fajr : 27-28.
"Esok hari bahagiaku Syira. Terima kasih atas segalanya Insyirah. Kau sahabatku dunia dan akhirat." kataku kepada Insyirah semasa sama-sama menghiaskan kamar pengantinku.

"Aku terima nikahnya Nurul Iman Bt Muhammad Abid dengan mas kahwin RM 77.70" Seuntai doa dibacakan sendiri oleh Muhammad Irsyad, suami Nurul Iman. Solat sunat dan sujud syukur dilaksanakan bersama. Kucupan restu di umbut-umbut Nurul diterima dengan tenang sekali.

"Abang akan merahmatimu sayang dan kita akan sama-sama bina keluarga ini sehingga ke syurga, InsyaAllah. Terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suamimu. Bantu abang ke syurga ya" Ujar Irsyad lembut kepada Nurul.

"InsyaAllah abang. Terima kasih juga sebab memilih sayang dalam hidup abang, bimbing sayang juga untuk teman abang di syurga. Redhailah setiap amalan sayang. Sayang akan usaha lahirkan mujahid dan mujahidah impian kita. Nurul sayang abang." itulah kali pertama lafaz sayang yang diluahkan pada seorang muslimin pilihannya yang dipilih atas agama yang dimiliki suaminya sejak awal perkenalan mereka.

Janji mereka yang sentiasa menjadi motivasi tatkala muhasabah bersama untuk meneruskan hidup di alam rumah tangga. Hanya kerana rindu pada Cinta dan syurga Allah. Masing-masing berusaha memainkan peranan sebagai suami isteri yang soleh dan berkerjaya.


***

"Walid, Mus'ab lapar. Lama sangat walid tengok kubur ummi. Ummi tak nak keluar pun. Jom balik, Mus'ab nak makan rendang nenek."

Air matanya disapu.

"Sayang, ummi bukan tak nak keluar, Cuma ummi sedang berseronok disana. Nanti walid pun akan ikut ummi, Mus'ab pun akan ikut ummi sayang"

"Ummi ajak Mus'ab sekali ke walid? Wah, Mus'ab mestilah nak jumpa ummi. Nak tenang macam ummi juga. Mus'ab rindu ummi, teringin nak jumpa Ummi nak tengok muka Ummi sama tak macam gambar yang walid tunjuk setiap hari tu"

Untuk yang keberapa juta kalinya entah Irsyad membaca warkah cinta buatnya yang dikirim bersama bayi yang diwariskan untuknya semasa kelahiran Mus'ab.

"Untuk mujahidku sayang, Mohammdad Irsyad,
Abang, tidak ada pujianku selepas Allah dan rasul terhadap makhluk selepasNya dariku padamu.
Atas kurniaan Tuhan, sayang miliki suami yang soleh macam abang. Yang adil pada kehidupan dunia dan akhirat.

Zauj ku yang teristimewa, sepanjang bersamamu, begitu bahagianya sayang. Sayang dilimpahi kasih sayang yang luas, sayang tenang dengan perjuangan-perjuangan abang. Kita terlalu banyak merancang kehidupan untuk kita dan anak-anak, malah abang selalu mengingatkan sayang matlamat pernikahan kita yang sebenarnya hanya mengharap Cinta Allah.

Cintaku, sayang ingin memberitahu abang, abanglah manusia paling hebat yang menawan hati sayang sejak sayang terima abang untuk menjadi tunang sayang. sayang simpan dan sayang hanya luah hanya pada Dia selama ini. Sayang cemburu dengan gerak kerja abang yang teratur, sayang cemburu pada perjuangan abang. Sayang tekad untuk setia menanti abang.

Abang, sayang ingat lagi, abang berjanji mahu anak dalam kandungan sayang ini menjadi pejuang agama dan negara. Sayang ingat lagi abang dan sayang sama-sama merangka pendidikan anak kita yang akan lahir. Sayang terbayang buku simpanan anak kita yang abang baru daftarkan. Abang seorang suami dan ayah yang hebat.

Abang, sayang masih ingat sayang mengangkat tangan berjanji dengan abang untuk sayang setia membantu abang dan membesarkan mujahid kecil kita yang akan lahir. Sayang akan pastikan dia menjadi seorang hafiz yang cemerlang akedemiknya. Sayang masih ingat janji kita untuk membina sebuah keluarga sakinah mawaddah warahmah. Sayang berjanji dengan abang untuk sama-sama menikmati ibadah di tanah suci. Sayang pegang janji untuk sayang jadi yang solehah untuk abang.

Namun sayangku, ustaz Irsyad yang dicintai. Maafkan sayang kerana sayang bukanlah penjanji yang setia. Kerana janji sayang pada Dia lebih sayang utamakan. Abang, kalau ditakdirkan Izrail menjemput sayang, abang janganlah terlalu bersedih hati kerana sayang akan bertemu cinta agung kita yang sering kita idamkan di tahajud kita bersama. Cuma mungkin sayang pergi dulu.

Sayang tinggalkan mujahid kecil ini untuk abang. Sayang mohon abang teruskan perancangan-perancangan kita dahulu. Didik dia menjadi pembantu sayang menuju syuga ya suamiku.

Jika abang dan si mujahid ini memerlukan sang bidadari untuk membantu, sayang sudah sedia merestuinya abang. Halalkan segalanya abang dan sayang mohon maaf sekali lagi kerana sayang bukanlah yang terbaik tapi sayang cuba sedaya upaya untuk jadi yang terbaik buat abang dan keluarga.Sekian dahulu dari zaujahmu ,Nurul Iman binti Muhammad Abid. Cintaku padamu selamanya. Semoga bertemu disyurga."

"Walid, nenek panggil makan." laungan mujahid kecil mematikan sedu Muhammad Irsyad.

Isteriku yang solehah, bidadariku disana. Kau syahid kerana mujahid kecil ini sayang. Semoga abadi mu di syurga sana.
sumber : www.iluvislam.com